BENTONG - Polis Bentong tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan tanpa mengira status pihak terbabit.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata sedemikian susulan penularan gambar sebuah kenderaan dipercayai milik seorang wakil rakyat di negeri ini yang menyalahi peraturan pada Isnin.
Iklan
Iklan
Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bentong akan mengambil tindakan sewajarnya.
"(Pemandu) kenderaan itu telah melakukan kesalahan abai isyarat lalu lintas dan dengan sengaja masuk ke laluan 'no entry'. (Dia) akan disaman di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata beliau.
Dalam pada itu Zaiham memohon agar orang awam tidak membuat sebarang spekulasi ke atas insiden tersebut, pihak polis tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan.
"Terima kasih kepada masyarakat khususnya penduduk Bentong yang sentiasa prihatin akan keselamatan orang lain," tambah Zaiham.