Maritim Johor patahkan cubaan seludup diesel

Iklan
Nurul Hizam (kiri) dan Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam menunjukkan dua buah lori tangki yang turut dirampas bersama sebuah kapal tangki kerana disyaki untuk aktiviti pemindahan minyak diesel secara haram ketika sidang media Pos Maritim Pengerang, Tanjung Pengelih pada Selasa. - Foto Bernama

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 80,000 liter diesel berdekatan ladang kelapa sawit di Sungai Lebam, di sini, malam Isnin.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, berdasarkan maklumat risikan, pihaknya telah melakukan rondaan kira-kira jam 10 malam di perairan Sungai Lebam dan mengesan sebuah kapal tangki.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Maritim Johor telah menahan 10 lelaki terdiri daripada lapan kru kapal melibatkan dua warga Indonesia serta dua warga tempatan yang merupakan pemandu lori, berusia 19 hingga 60 tahun.

"Kita percaya sindiket ini menggunakan pam dan hos minyak sepanjang 600 meter untuk memindahkan minyak diesel daripada lori tangki ke kapal. Kapal ini juga pernah ditahan Maritim sebelum ini atas kesalahan berlabuh secara haram,” katanya kepada pemberita di Pos Maritim Pengerang, Tanjung Pengelih, di sini pada Selasa.

Nurul Hizam (tiga, kir) dan Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam (kiri) menunjukkan awak-awak yang ditahan dalam kapal tangki dipercayai melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel secara haram ketika sidang media di atas kapal tangki itu di Pos Maritim Pengerang Tanjung Pengelih , pada Selasa. - Foto Bernama

Iklan

Turut dirampas, sebuah kapal tangki, dua lori tangki minyak, sebuah Perodua Bezza dan pam minyak dengan keseluruhan rampasan bernilai RM3.62 juta.

Bagaimanapun, Nurul Hizam berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana dan sejak bila sindiket itu aktif.

Iklan

"Ini merupakan tangkapan pertama Maritim Johor tahun ini yang melibatkan sindiket penyeludupan minyak diesel,” katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan akan dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B (1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kastam 1967. - Bernama