Penat hadap dua kali banjir dalam tempoh singkat

Iklan
Munirah bersama tiga anaknya kini tinggal sementara di PPS selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak Ahad.

KEMAMAN - Penduduk Kampung Bukit Berapit, Lembah Jabor di sini pasrah apabila terpaksa menjadi penghuni pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan.

Surirumah, Munirah Razali, 40, berkata, dia sekeluarga tiada pilihan lain selain berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor selepas kawasan kediamannya dinaiki air susulan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kali kedua mereka dipindahkan ke PPS sejak Disember lalu dan mengambil keputusan berpindah lebih awal kerana bimbang sekiranya air naik secara mendadak pada waktu tengah malam.

"Saya bersama tiga anak harung air sedalam setengah meter pindah ke PPS pada jam 8 malam selepas air naik pada paras betis di dapur. Hanya sempat ambil barang dan dokumen penting sahaja.

Iklan

"Dalam kejadian banjir bulan 12 lepas, kami pindah di sini juga selepas rumah ditenggelami air sedalam 1 meter hingga lantai rumah tercabut dan terapung selain barang elektrik seperti televisyen serta mesin basuh terpaksa dibuang.

"Penat memang penat kena hadapi dua kali banjir dalam tempoh yang begitu singkat tapi apakan daya, kami terpaksa tempuhi juga," katanya ketika ditemui di PPS SK Lembah Jabor di sini pada Selasa.

Iklan
Nurina (kiri) berkata sesuatu kepada Munirah di PPS SK Lembah Jabor di sini pada Selasa.

Nurina Wan Dollah, 63, pula berkata, dia sudah melakukan persediaan awal dengan mengemas pelbagai barang dan dokumen penting apabila kawasan tersebut dilanda hujan lebat bermula Ahad.

Jelasnya, faktor tinggal seorang diri juga menyebabkan dia berpindah ke PPS lebih awal bagi mengelak risiko rumah ditenggelami banjir pada waktu tengah malam.

"Bila nampak air mula naik, saya hubungi anak yang tinggal berhampiran supaya datang ambil dan hantar ke PPS. Ini kali kedua kena pindah selepas banjir besar dua bulan lalu," katanya yang sudah tinggal di kampung itu selama 10 tahun.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan hujan lebat berterusan di Kemaman menyebabkan beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air dan penduduk terpaksa berpindah ke tempat selamat.

Sehingga jam 3 petang Selasa, seramai 28 mangsa membabitkan sembilan keluarga terjejas telah dipindahkan ke dua PPS yang diaktifkan sejak malam tadi.

Seramai lapan keluarga melibatkan 25 mangsa kini berlindung di SK Lembah Jabor manakala tiga penduduk lagi berada di Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih.