MERSING - Laungan azan sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelajar sebuah pusat pengajian tinggi swasta (IPTS) di Pulau Mawar di sini menjadi ikhtiar pasukan SAR.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Alias Hussin berkata, azan akan dilaungkan setiap kumpulan anggota SAR sebelum bergerak mencari mangsa, Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 19.
Menurutnya, operasi yang bermula seawal jam 9 pagi membabitkan keanggotaan seramai 55 orang daripada pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Daerah Mersing, malim gunung dan penduduk.
Beliau berkata, ayah dan abang mangsa yang ingin menyertai operasi SAR terbabit turut dibawa.
"Hari ini, kita pecahkan kepada empat kumpulan, satu pasukan melakukan pencarian menggunakan dua ekor anjing pengesan (K9) disertai tujuh anggota di dalam hutan dan pesisir pantai.
"Seterusnya, pasukan kedua dan ketiga disertai 15 anggota SAR di kawasan hutan. Manakala pasukan keempat seramai 12 anggota SAR mencari di kawasan sungai menggunakan lima unit bot daripada pelbagai agensi penyelamat," katanya.
Menurut Mohd Alias, SAR yang sudah memasuki hari kelima pada Selasa, tidak menemui sebarang petunjuk mangsa hilang yang dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar pada 1 Februari lalu.
Tambah beliau, Pulau Mawar yang berkeluasan kira-kira tiga kilometer sudah dimasuki anggota SAR berulang kali selain empat dron turut digunakan bagi mengesan mangsa.
"Selain itu, terdapat banyak kawasan berbatu dan curam yang tinggi di Pulau Mawar memerlukan anggota SAR lebih berhati-hati," katanya.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan mengenai kehilangan Muhamad Akmal Hakimi yang didakwa tidak pulang ke rumahnya di Taman Makmur, Kluang sejak Rabu lalu.
Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki pelajar berkenaan ditemui di kawasan Pulau Mawar dan dipercayai ditinggalkan dan seterusnya melakukan aktiviti mendaki di pulau berkenaan.