ISLAMABAD - Jenazah bekas pemerintah tentera Pakistan, Pervez Musharraf diterbangkan ke negara itu pada Isnin untuk dikebumikan, kata pegawai.
Musharraf, 79, menghembuskan nafas terakhirnya pada Ahad di sebuah hospital di Dubai dan akan dikebumikan di perkuburan tentera di bandar Karachi di selatan Pakistan pada Selasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik sumber keluarga.
Sebagai sekutu utama Amerika Syarikat dalam perang menentang al-Qaeda di Afghanistan, Musharraf memerintah Pakistan antara 1999 dan 2008 selepas menggulingkan kerajaan yang dipilih dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah.
Sebuah pesawat khas yang membawa jenazah beliau mendarat di lapangan terbang di Karachi kira-kira 10 malam (1700 GMT), kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, Saif Ullah.
Musharraf berada di Emiriah Arab Bersatu sejak 2016 sejak tinggal dalam buangan untuk mengelak perbicaraan berkaitan beberapa kes.
Pada 2019, Musharraf dijatuhi hukuman mati tanpa kehadiran kerana pengkhianatan, menjadikannya diktator pertama yang disabitkan bersalah oleh mahkamah Pakistan.
Bagaimanapun, sebulan kemudian keseluruhan proses itu diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan dan hukuman itu dibatalkan. - Bernama