'Sekarang pun letih angkut air'

Iklan
Kain rentang dengan tulisan 'buah cempedak buah nangka air tak dak bukan jenaka' itu dipercayai dipasang oleh penduduk Taman Seri Bayu 2 Sungai Lalang yang tidak tahan dengan isu air yang tidak berkesudahan.

SUNGAI PETANI - Kedatangan Ramadan tidak lama lagi menambah kebimbangan penduduk Taman Seri Bayu 2 Sungai Lalang di sini akibat krisis air yang tidak berkesudahan sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Rosli Harun, 52, berkata, ini kerana masalah yang dihadapi menyukarkan aktiviti harian mereka apatah lagi menjelang Ramadan apabila

Iklan
Iklan

majoriti penduduk beragama Islam bakal menjalani ibadat puasa akan mulai sibuk dengan persiapan berbuka dan bersahur sepanjang bulan tersebut.

"Bekalan air dihantar dua hari sekali, setelah lori hantar bekalan, air akan disimpan dalam tong, bila nak guna kena angkut masuk ke tandas.

Iklan

"Sekarang belum bulan puasa pun dah letih nak angkut, bagaimana nanti agaknya bulan Ramadan?" katanya.

Selain itu, Abd Hamid Said, 70, berkata, ketiadaan bekalan menyukarkan proses pengurusan jenazah bagi anak kariah yang berdepan kematian ahli keluarga.

Iklan

"Kami tertekan nak hadap isu air ni, kos hidup makin meningkat, air yang dihantar hanya sesuai untuk mandi dan cuci, ada keluarga terpaksa beli air mineral untuk dibuat minum.

"Kebanyakan penduduk juga terpaksa pasang pam khas bagi meningkatkan tekanan seterusnya membolehkan bekalan disalurkan ke tangki (semasa bekalan ada).

"Air ada sat (sekejap) saja, kadang-kadang beberapa jam sahaja waktu lagi, lepas tu paip terus kering sampai esok pula.

"Setakat ini, lori hanya hantar dua hari sekali, kalau boleh mai (datang) hantar setiap hari elok juga, sebab semua orang tak mahu terputus bekalan air," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Seri Bayu 2, Omar Ismail berkata, penduduk memohon jasa baik pihak berkaitan agar memberikan perhatian terutama pada Ramadan dan Syawal.

Menurut Omar, isu air kembali hangat apabila terdapat penduduk yang bertindak memasang kain rentang di hadapan simpang laluan masuk ke taman perumahan tersebut sejak beberapa hari lalu.

Kain rentang yang dipasang dengan tulisan 'buah cempedak buah nangka, air tak dak bukan jenaka' itu turut menarik perhatian ramai selain tular di laman sosial Facebook kemungkinan dimuat naik salah seorang penduduk.

Penduduk Taman Seri Bayu 2 Sungai Lalang berdepan krisis air yang tidak berkesudahan sejak kira-kira tiga tahun lalu.

"Kain rentang tu dah ada situ dua hari lepas, kami pun tak pasti siapa yang pasangkan tetapi saya percaya ia daripada penduduk yang sudah tidak tahan dengan krisis air yang tidak berkesudahan ini, harap agensi berkaitan beri perhatian," katanya.