KPDN akan wujudkan direktori restoran tawar Menu Rahmah

Iklan
Fuziah (tengah) menunjukkan Menu Rahmah iaitu nasi ayam yang ditawarkan di restoran Nasi Ayam Papa di Indera Mahkota ketika mengadakan lawatan kerja pada Selasa.

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mewujudkan direktori restoran yang menyediakan Menu Rahmah di seluruh negara.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihaknya sedang merangka untuk mewujudkan platform sendiri bagi memuatkan direktori restoran yang menawarkan menu berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif Menu Rahmah bukan hanya tertumpu kepada sektor makanan tetapi turut melibatkan sektor lain seperti perubatan dan pendidikan bertujuan menangani kos sara hidup.

"Di Pahang setakat ini ada tiga persatuan yang bekerjasama menjalankan Menu Rahmah iaitu Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia (Pertom) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Prisma).

Iklan

"Kalau restoran mamak sahaja kita ada 12,500 buah, restoran tomyam tidak terkira, restoran India pula ada sekitar 4,000 premis di Wilayah (Kuala Lumpur) sahaja. Kesemua ini kita akan letakkan dalam direktori itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersempena lawatan kerja di sebuah restoran di Indera Mahkota pada selasa.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai Menu Rahmah, Fuziah berkata, program itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan di seluruh negara.

"Kita tahu ramai rakyat susah sekarang kerana kos sara hidup yang semakin meningkat bukan sahaja melibatkan makanan, malah kesihatan, tempat tinggal, barangan keperluan, bil dan pendidikan.

"Kementerian bertanggungjawab dan akan sentiasa bekerjasama berhubung dengan kementerian lain dan juga industri-industri untuk memastikan kos sara hidup dapat dikawal," katanya.