KOTA BHARU - Kos keseluruhan membaik pulih kerosakan infrastruktur susulan kejadian banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL) di Kelantan pada tahun 2021 hingga kini dikenal pasti sebanyak RM172.3 juta.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, jumlah itu bagi MTL pada tahun 2021 hingga 2022 yang dianggarkan sebanyak RM107 juta, manakala MTL 2022 hingga 7 Februari 2023 berjumlah RM65.3 juta.
Menurutnya, infrastruktur yang terlibat adalah jalan, jambatan, sistem saliran dan pengairan, jeti dan cerun.
"Angka tersebut dijangka akan bertambah setelah proses pengumpulan data selesai,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (E-Bencana Kelantan) di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Dalam pada itu, Ahmad yakin pembangunan sistem yang bernilai RM300,000 tersebut akan menjadi mekanisme pengurusan yang lebih kemas dalam menentukan peranan serta tanggungjawab agensi-agensi terlibat semasa bertindak menangani sesuatu bencana, mengelakkan pembaziran sumber, kekeliruan, konflik dan percanggahan.
"Usaha-usaha ke arah pemulihan dan mempersiapkan komuniti dengan ilmu, maklumat dan persediaan menghadapi risiko bencana terus dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan kerjasama bersepadu semua pihak,” katanya.
Ahmad turut menekankan agar semua khususnya pihak berkuasa tempatan agar sentiasa merancang pembangunan dengan teratur dan terancang seperti penyediaan serta penyelenggaraan kemudahan saliran yang sistematik.
Dalam pada itu, Mumtaz berkata, E-Bencana Kelantan merangkumi platform mobile Android, mobile iOS, papan pemuka, portal, laman sesawang dan integrasi dengan sistem-sistem bencana yang sedia ada.
"Ketua isi rumah atau mangsa yang biasa terlibat banjir boleh mendaftarkan diri ke sistem ini bagi memudahkan pendaftaran ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan agihan bantuan.
"Sistem merangkumi Modul Perkongsian Info Bencana (PIB) yang berfungsi dan membolehkan rakyat membuat laporan bencana serta berkongsi info pelbagai bencana,” katanya.