Gempa bumi: NGO Malaysia, Indonesia salur bantuan awal RM400,000

Iklan
Orang ramai menerima makanan percuma yang diagihkan selepas gempa bumi di Diyarbakir, tenggara Turki pada Isnin. - Foto EPA

SHAH ALAM - Malaysia For Syria dan Global Peace Mission bersama 21 badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Malaysia dan Indonesia menggerakkan bantuan awal berupa barangan dan wang tunai berjumlah RM400,000 bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Jurucakap gerakan 'Malaysia Prihatin', Saifulnizam Muhammad berkata, wang tunai RM250,000 akan diserahkan minggu ini bagi membeli peralatan kepada pasukan penyelamat di Turkiye dan Syria untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, RM150,000 lagi berupa barangan kit musim sejuk, sarung tangan dan baju sejuk yang akan diterbangkan dari Malaysia menerusi Turkish Airways.

"Perkara ini kita sudah bincangkan bersama dengan pihak Kedutaan Turkiye dan mereka akan cuba mempermudahkan urusan penyaluran bantuan ini termasuk ke Syria,”

Iklan

"Kita akan hantar pasukan peninjau yang akan bertolak Khamis ini bagi mengenal pasti keperluan di sana dengan sasaran bantuan yang diperlukan setakat ini berjumlah RM3 juta,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Selasa.

Jelasnya, bantuan yang perlu disediakan adalah meliputi tempat perlindungan sementara seperti khemah kanvas, tilam, bantal, selimut, petrol dan alat pemanas.

Iklan

"Suhu di kawasan tragedi adalah satu darjah celcius dan ribuan mereka terkesan berada hanya berada di tepi jalan, duduk dalam kereta serta tidak mempunyai tempat pelindungan dengan keadaan musim sejuk yang sedang berlaku,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi Muslim Volunteer Malaysia https://donation.mvm.org.my/donations/urgent-gempa-turki-syria/ atau Maybank Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia bernombor 5648 0164 7699