Pahang catat jumlah mangsa banjir tertinggi petang ini

Iklan
Penduduk Kampung Gudang Rasau, Mariani Mansor, 32, (kiri) bersama kakaknya, Suzana Ismail, 51, meredah banjir sambil mendukung bayinya yang berusia dua bulan ketika meninjau keadaan rumah yang terletak di belakang Taman Seri Damai Perdana pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa banjir di negeri Pahang terus meningkat, manakala Johor semakin berkurangan sementara Kedah dan Terengganu kekal setakat petang Selasa.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat selepas 5,021 mangsa daripada 1,489 keluarga ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 4,230 mangsa daripada 1,240 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS pagi Selasa.

Iklan
Iklan

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) melaporkan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 4,908 orang di 24 PPS, manakala 113 individu ditempatkan di empat PPS di Pekan.

Laman sesawang rasmi Jabatan Saliran dan Pengairan, publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya.

Iklan

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 59 orang di tiga daerah berbanding 163 mangsa yang direkodkan pada 8 pagi Selasa.

Menurut JBPN, hanya tiga PPS yang masih dibuka, masing-masing satu di Daerah Segamat, Mersing dan Batu Pahat, yang menempatkan 17 keluarga, susulan banjir termenung.

Iklan

"Keadaan cuaca di sembilan daerah diramalkan cerah petang ini kecuali Kluang yang dijangka mengalami hujan," katanya.

Sementara itu, hanya Sungai Bekok di Batu Pahat yang masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.95 meter manakala tiga sungai di paras amaran iaitu Sungai Lenik di Sungai Batu Pahat (Segamat) dengan 5.57 meter; Sungai Muar di Kampung Lubok Kepong (Segamat) di paras 18.32 meteri; dan Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai (Pontian) berada di paras 2.29 m.

Di KEDAH seramai 26 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Insaniah Jangkang, Kulim masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing walaupun banjir sudah surut sepenuhnya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata ia berikutan tebing Sungai Kob yang runtuh masih belum dibaiki lagi.

"Buat masa ini, kesemua mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Padang Limau itu masih belum dibenarkan pulang kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan penghulu kampung.

"Kita bimbang dengan keselamatan mangsa banjir ini dan rumah mereka masih belum selamat diduduki kerana takut air dari sungai itu banyak dan akan melimpah kembali ke rumah mangsa-mangsa ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Pegawai Daerah Kulim akan mengadakan lawatan bagi melihat kerosakan yang berlaku di bahagian tebing sungai berkenaan petang nanti dan sebarang tindakan akan dimaklumkan.

Di TERENGGANU jumlah mangsa banjir kekal seramai 28 orang yang ditempatkan di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor dan di Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih. - Bernama