Abang parah, adik cedera diserang buaya

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

PITAS - Dua beradik lelaki cedera akibat diserang buaya dalam kejadian di tebing Sungai Bengkoka, Kampung Sinasak, di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 53 tahun parah di seluruh anggota badan manakala adiknya berusia 51 tahun cedera ringan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, laporan berhubung kejadian itu dilakukan oleh pengadu yang juga isteri kepada salah seorang mangsa.

Katanya, pengadu menyatakan pada hari yang sama, suami dan abang iparnya telah diserang buaya sehingga menyebabkan kecederaan.

Iklan

"Siasatan mendapati suami dan abang iparnya turun ke sungai yang berhampiran kediaman mereka untuk memasang pam air di sungai berkenaan.

"Ketika mereka turun membetulkan paip di dalam sungai, tanpa disedari seekor buaya sepanjang kira-kira 2.4 meter datang menyerang dengan mengigit bahagian kaki salah seorang mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Susulan kejadian itu, mangsa bertindak menyelamatkan abangnya, namun turut digigit haiwan berkenaan.

"Pengadu yang mengetahui kejadian itu bergegas ke tebing sungai sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pitas untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Zairolnizal berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kedua belah kaki, badan dan tangan.

"Mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Pitas namun dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

"Adiknya pula cedera ringan di bahagian tangan kanan serta kaki sebelah kiri dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar," katanya.