SHAH ALAM - Individu beragama Islam yang mengikuti perarakan perayaan Thaipusam dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh serta terikut-ikut dengan upacara ritual agama lain yang jelas bercanggah dengan ajaran agama.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, perkara itu dipandang serius kerana dibimbangi tindakan itu boleh menjejaskan akidah serta iktikad mereka sebagai seorang Islam.
Menurut beliau, perayaan Thaipusam adalah upacara ritual keagamaan dan tidak sesuai untuk diikuti oleh umat Islam.
"Merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan bahawa apa jua amalan dan pelakuan orang Islam dalam hal berkaitan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama sama, maka ditegah oleh Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Zawawi memberitahu, umat Islam yang mengikuti perayaan itu dengan niat untuk bersuka-suka atau terlibat sebagai pesta kebudayaan dinasihatkan supaya bertaubat kepada ALLAH.
"Umat Islam juga disarankan agar menghubungi pihak Jabatan Mufti atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekiranya ingin mendapatkan pandangan dan penjelasan berkenaan hukum syarak," ujar beliau.
Sebelum ini tular video berdurasi 27 saat memaparkan sekumpulan individu dipercayai beragama Islam berarak bersama pedati mengikuti perayaan Thaipusam.
Dalam video itu juga terdengar beberapa Individu menyebut seakan upacara keagamaan tersebut.