APA Khabar Rakyat mendengar keluhan nelayan pantai yang gagal memperolehi lesen untuk membolehkan mereka turun ke laut mencari rezeki termasuk berdepan kos sara hidup yang meningkat.
Akibat perlu mencari rezeki untuk menyara keluarga, nelayan terpaksa juga ke laut walaupun sedar menjadi kesalahan jika tidak mempunyai lesen kerana melanggar Akta Perikanan, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain.
Ikuti laporan wartawan WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR yang turun melihat sendiri dan menyingkap masalah nelayan di sekitar Kuala Kedah.
Nelayan pantai yang masih belum mempunyai lesen walaupun sudah memohon sebelum ini terpaksa keluar menangkap ikan untuk meneruskan kelangsungan hidup biarpun berdepan risiko ditahan termasuk dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Seorang nelayan, Mahmud Awang, 64 dari Kubang Rotan, berkata, ramai di kalangan mereka yang mengeluh kerana sudah memohon namun sehingga kini masih belum gagal memperolehinya.
"Nelayan mahu lesen sahaja sebab ramai yang tidak dapat. Ada juga nelayan yang sudah dapat namun di sebalik itu masih ada lagi puluhan nelayan yang gagal mempunyai lesen.
"Saya difahamkan, kadang-kadang mereka bagi lesen mengikut kuota sahaja. Apa guna nelayan beli dan miliki bot tapi tidak mendapat lesen.
"Jadi kita mohon kerajaan beri perhatian sewajarnya kepada situasi nelayan yang sedang teruk ini, kita rayu untuk diberikan lesen agar memudahkan nelayan mencari tangkapan ikan,” katanya semasa ditemui di Pasar Nelayan Seberang Kota, Kubang Rotan.
Perkara tersebut diakui oleh seorang lagi nelayan, Mohd Aiman Abu Hassan, 23 dari Kampung Keluncur, dekat sini yang menjelaskan lesen yang diperolehi dapat membantu mengurangkan kos membeli minyak diesel pada kadar subsidi untuk digunakan apabila turun ke laut.
Menurutnya, mereka bukan mahu mengambil kesempatan daripada pelbagai subsidi yang disediakan kerajaan kepada nelayan yang memiliki lesen tersebut namun ia sudah dilihat sebagai satu keperluan kerana berdepan dengan kenaikan kos sara hidup pada hari ini.
"Apabila mohon lesen, prosesnya susah, kelulusan lambat dan payah nak dapat. Setiap kali turun ke laut, nelayan mengambil risiko tinggi sebab kalau jadi apa-apa, nelayan itu tanggung sendiri.
"Tambahan, hanya nelayan yang mempunyai lesen sahaja layak mendapat Elaun Sara Hidup Nelayan. Ramai orang tidak tahu kami bertarung nyawa setiap kali turun mencari rezeki di laut.
"Balik pun kadang-kadang hasil tidak menentu. Minyak pula sentiasa kena beli untuk turun pada keesokan hari. Jika ada lesen dan dapat subsidi minyak, lega sikit bebanan kami,” ujar Mohd Aiman.
Bagi Mohd Zohir Omar, 38, yang telah menjadi nelayan sejak 11 tahun lalu pula menjelaskan, beliau turut tidak mempunyai lesen dan menumpang bot kawannya untuk turun ke laut mencari rezeki.
Katanya, nelayan yang tidak mempunyai lesen dan terpaksa turun sendiri ke laut hanya mampu mengharapkan belas ihsan daripada pihak penguat kuasa seperti diberikan amaran jika mereka ditahan semasa menangkap ikan.
"Memang menjadi masalah kalau tidak ada lesen ini kerana pihak berkuasa akan tahan. Hak mereka untuk kenakan tindakan pada nelayan yang tidak mempunyai lesen. kita tidak boleh halang mereka” kata Mohd Zohir.
Cadang wujudkan lesen sementara, elaun sara hidup dinaikkan
Sementara itu, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) mencadangkan kerajaan memberikan lesen sementara kepada nelayan yang masih gagal memperolehinya selepas memohon beberapa kali sebelum ini.
Pengerusi Jaring, Che Ani Mat Zain berkata, nelayan yang tidak mempunyai lesen dan ditahan pihak berkuasa tidak akan mampu memberikan alasan kerana telah melanggar Akta Perikanan 1985.
"Kami berharap kerajaan mengkaji semula agar nelayan yang tidak berlesen ini diberikan lesen sementara sebagai langkah permulaan. Jaring berpendapat nelayan diberikan lesen percubaan untuk tempoh dua atau tiga tahun dahulu.
"Sekiranya nelayan ini dapat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan maka Jabatan Perikanan berikan lesen sepenuhnya selepas tamat tempoh percubaan,” ujarnya.
Mengulas mengenai Elaun Sara Hidup Nelayan pula, beliau mencadangkan elaun yang diterima oleh golongan tersebut pada hari ini dapat dinaikkan dari RM300 kepada RM500.
Kata Che Ani, ketidaktentuan hasil tangkapan nelayan selain kenaikan harga barang jelas menambah beban kepada golongan tersebut terutamanya bagi mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai.
"Kalau kita kira RM300 itu memang tidak patut dan tidak munasabah pada hari ini. Kalau tidak dapat turun ke laut dan hanya dengan bantuan itu bagaimana nelayan nak hidup.
"Ada di kalangan nelayan mengeluh seolah-olah mereka ini seperti peminta sedekah kerana mahu hidup, mereka terpaksa mengemis untuk mendapatkan bantuan kerajaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan petani dan nelayan ini miskin dan memang mereka perlu dibantu,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Pasar Nelayan Seberang Kota, Jamaluddin Zakaria berkata, nelayan juga perlu memikirkan kos alat ganti termasuk penyelenggaraan enjin bot bagi memastikan mereka dapat turun ke laut dengan selamat.
Menurutnya, kos-kos tersebut kini turut berdepan kenaikan di sebalik kos sara hidup yang semakin naik pada hari ini.
"Mereka lupa bahawa nelayan juga perlu membaiki bot masing-masing secara berkala seperti kereta. Kos alat ganti juga amat tinggi.
"Peralatan lain juga melibatkan kos seperti untuk membuat pukat. Benda-benda ini juga adalah kos malah ada harganya telah meningkat lebih 100 peratus,” katanya.