PUTRAJAYA - Kerajaan telah membentuk satu Pasukan Petugas (Task Force) untuk menyelaras usaha bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Turkiye dan Syria susulan tragedi gempa bumi yang melanda kedua-dua negara itu pada Isnin.
Pasukan Petugas itu diketuai bersama oleh Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan objektif utama untuk memastikan segala persiapan dan perancangan bagi saluran bantuan kemanusiaan ke negara-negara terkesan akibat bencana gempa bumi ini berjalan lancar, teratur serta memenuhi garis panduan oleh kerajaan-erajaan berkenaan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan akhbar pagi Rabu memaklumkan satu mesyuarat koordinasi antara Pasukan Petugas ini dengan NGO-NGO Malaysia akan diadakan pagi Rabu.
Pasukan SMART itu tiba di Istanbul pada 6 pagi (waktu tempatan) 7 Februari dan telah digerakkan ke Adana, yang terletak 500 kilometer (km) dari Ankara dan 987km dari Istanbul, bagi misi mencari dan menyelamat di kawasan berkenaan, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kementerian Luar turut menasihatkan warga Malaysia yang kini berada di Turkiye, Syria dan di negara-negara berdekatan agar terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.
Mereka dinasihatkan untuk segera berhubung dengan Kedutaan-kedutaan Malaysia di Amman, Ankara, Beirut atau Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul atau Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik, jika memerlukan bantuan segera.
Sebelum ini, ia mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terkesan oleh bencana itu.
Setakat ini hampir 8,000 mangsa dilaporkan terkorban di Turkiye dan Syria akibat gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter. - Bernama