KDNK 2023 dijangka tumbuh sederhana 4.7 peratus

Iklan
Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh pada kadar sederhana 4.7 peratus tahun ini. - Gambar hiasan
EKONOMI Malaysia dijangka tumbuh pada kadar sederhana 4.7 peratus tahun ini di tengah-tengah penurunan inflasi secara beransur-ansur, dasar monetari yang lemah dan harga komoditi yang berada di bawah paras sewajarnya, kata seorang ahli ekonomi.

Namun begitu, Ketua Ekonomi ANZ Bank (Asia Tenggara dan India), Sanjay Mathur mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan kekal dengan reputasi yang baik kerana tahun 2022 merupakan tahun yang sangat kukuh bagi Malaysia susulan pembukaan semula sempadannya, di samping banyak perkembangan positif yang lain.

"Saya fikir kombinasi pertumbuhan dan inflasi memberi petanda baik untuk Malaysia sekarang," katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Inovasi Kewangan Asean di sini pada Rabu.

Mathur merupakan salah seorang penceramah pada sidang kemuncak itu, yang mana beliau menyampaikan ucaptama bertajuk 'Melepaskan trend paling penting untuk perniagaan global dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada ASEAN'.

Daripada faktor luaran pula, beliau berkata pembukaan semula sempadan China akan menyokong ekonomi Malaysia, terutamanya dari segi pelancongan.

Sementara itu, beliau menjangkakan industri perbankan dan kewangan ASEAN akan menyaksikan penggabungan di antara bank konvensional dan digital untuk memberi daya saing kepada pasaran yang besar, sambil menyatakan bahawa industri kini sedang mengalami persaingan yang berbeza, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa memandangkan kemajuan pesat dalam teknologi di seluruh dunia, pemain tradisional juga perlu melihat teknologi baharu untuk terus menyampaikan perkhidmatan yang paling berkualiti.

"Saya juga berfikir dalam satu tempoh masa, kita akan bergerak ke bidang seperti bagaimana proses kelulusan kredit boleh dilakukan di antara apa yang boleh dilakukan oleh bank digital dan apa yang boleh dilakukan oleh bank konvensional," tambahnya. - Bernama