NILAI - Sebuah premis yang dijadikan sebagai tempat pemprosesan ayam bagi makanan ikan diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Nilai (MPN) kerana dipercayai menjadi penyebab kepada pencemaran udara di sekitar Pajam.
Premis yang sudah beroperasi lebih setahun itu dikesan oleh penduduk sekitar setelah mengeluarkan bau busuk akibat pembakaran bangkai ayam untuk dijadikan makanan ikan.
Ahli Majlis Perbandaran Nilai, V Yogeswaran berkata, pihaknya sebelum ini sudah memberi dua amaran kepada pemilik premis berkenaan agar tidak membuat lagi aktiviti membakar bangkai ayam di situ.
Namun menurutnya, teguran itu tidak diendahkan dan aktiviti pembakaran tersebut terus dijalankan dalam kebun buah-buahan di situ.
"Pada jam 5.30 petang semalam (kelmarin), saya menerima lagi aduan daripada penduduk sekitar memberitahu ada bau yang sangat busuk, saya terus menuju ke dalam kebun itu dan mendapati aktiviti membakar bangkai ayam itu sedang dilakukan.
"Ayam hidup sebelum itu direbus untuk dimatikan kemudian dibakar untuk dijadikan sebagai makanan ikan yang dijual kepada pihak luar.
"Bangkai ayam yang dibakar itu kemudiannya mengeluarkan bau yang tidak enak menyebabkan kawasan sekitar berbau busuk," katanya kepada Sinar Harian.
Yogeswaran berkata, akibat tindakan tersebut pemilik premis yang merupakan penduduk tempatan diarahkan untuk menutup premis dan dilarang untuk mengulangi aktiviti itu lagi.
Katanya, tindakan mahkamah termasuk dikenakan kompaun boleh dikenakan sekiranya pemilik premis berkenaan tidak mematuhi arahan yang ditetapkan.
"Walaupun aktiviti membakar ayam itu hanya dilakukan setiap dua minggu sekali tetapi ia tetap melakukan kesalahan termasuk pencemaran udara serta mengganggu ketenteraman awam akibat mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
"Saya berharap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti seperti ini dapat menghentikannya segera kerana perbuatan tersebut boleh mendatangkan kesan yang tidak elok kepada udara dan penduduk setempat," katanya.