JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah lori yang membawa 18,000 kilogram (kg) makanan haiwan bernilai RM47,000 di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada Selasa.
Maqis dalam satu kenyataan memberitahu, pemeriksaan pada jam 1 petang itu mendapati makanan haiwan berkenaan cuba dibawa masuk dari Singapura ke negara ini.
"Ini menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Maqis 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," menurut kenyataan berkenaan pada Rabu.
Jelas Maqis, kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM75,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pihak Maqis akan terus memperketatkan kawalan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan.
Tambah kenyataan itu, ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.
"Bagi siasatan lanjut, Maqis menahan pemandu lori berkenaan yang merupakan warga tempatan berusia 43 tahun sebelum dilepaskan selepas keterangannya diambil," jelas kenyataan itu lagi.