KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menawarkan peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja, namun kurang berkelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pengajian di universiti itu.
Naib Canselornya, Profesor Dr Fadzli Adam berkata, tawaran melalui APEL (A) itu memberi akses dan laluan kepada individu berkenaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di insititusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut.
Iklan
Iklan
"Mungkin dulu mereka tidak melepasi syarat kemasukan, tetapi sekiranya ada pengalaman kerja dalam tempoh yang telah ditetapkan, mereka boleh memohon ke untuk sambung belajar di UniSZA.
"Mereka yang berminat perlu mendapat kelulusan di peringkat penilaian APEL (A) yang disediakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
"Selepas dapat sijil barulah UniSZA tawarkan mengikut saluran UPUonline di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Tambahnya lagi, permohonan untuk APEL (A) perlu di buat di laman sesawang MQA sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh kemasukan ke institusi pengajian tinggi pilihan.
Beliau berkata, UniSZA menawarkan 12 program diploma, 31 program di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan 36 program sarjana untuk pengajian secara Apel (A).