KULAI - Polis memberikan amaran kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) agar tidak terlibat dengan gengsterisme.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya telah mengenal pasti NGO yang terlibat dengan kegiatan itu dan telah memberikan amaran kepada mereka.
"Mereka ini berada dalam radar kita ketika ini...namun setakat ini aktiviti mereka masih terkawal.
"Bagaimanapun, kita berikan amaran kepada mana-mana pihak yang merancang untuk merosakkan atau pecahkan keamanan di Johor," katanya pada Rabu.
Kamarul Zaman berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Balai Polis Kelapa Sawit di sini, pada Rabu yang disempurnakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, semua pihak diharap dapat bekerjasama dengan polis dalam usaha menjamin kesejahteraan masyarakat.
"Memang kita alu-alukan kerjasama antara NGO, masyarakat dan polis dalam usaha menjamin kesejahteraan.
"Masalah melibatkan kongsi gelap di Johor ketika masih berjaya dikawal dan sehingga kini tidak ada perkara buruk yang dilaporkan berlaku.
"Oleh itu kerjasama daripada pihak NGO dan masyarakat perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.