[VIDEO] 'Saya mesej Jho Low demi UMNO' - Saksi

Iklan
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR - Seorang bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, tindakannya berkomunikasi dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, tidak memberi manfaat kepada dirinya, tetapi faedah buat UMNO.

Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata demikian dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram, dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iklan
Iklan

Dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, saksi pendakwaan ke-41 itu berkata, berkomunikasi dengan Jho Low dibuat melalui Blackberry Messenger (BBM) dan ia hanya menyentuh urusan perbankan bekas Perdana Menteri itu.

"Perbualan pada jam 1 pagi, 21 Ogos 2014 lalu adalah berhubung pembayaran RM5 juta kepada UMNO dan ia bukan untuk faedah diri saya atau Jho Low sebaliknya demi UMNO,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Iklan

Ahmad Akram: Perbualan sepanjang malam itu mengenai apa?

Joanna: Dia (Jho Low) beritahu sekitar jam 1 pagi, ada cek RM5 juta untuk UMNO, saya kata cukup (baki dalam akaun) kalau dimasukkan esok, itu sahaja.

Iklan

Ahmad Akram: Wang untuk faedah siapa?

Joanna: UMNO.

Ahmad Akram: Bukan untuk faedah kamu dan Jho Low?

Joanna: Bukan, ia dibuat supaya cek itu tidak ditendang.

Dalam soal balas pagi tadi, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu, merujuk pada perbualan BBM antara Joanna dan Jho Low.

Peguam itu berkata, timbul kejanggalan buat seorang wanita yang sudah berkahwin, menghubungi seorang lelaki lain, pada lewat malam sehingga jam 5 pagi.

"Kamu juga bertemu dengan Jho Low di rumah mewahnya di Jalan Kia Peng, tetapi kamu sudah berkahwin, adakah suami kamu tidak kisah dengan tindakan itu,” soal Muhammad Shafee.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan membantah soalan berkenaan kerana ia menyentuh keperibadian saksi, selain tidak wajar untuk diutarakan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudiannya mengarahkan Muhammad Shafee tidak mengulangi soalan tersebut.

Joanna berkata, kehadirannya di rumah Jho Low dibuat kerana urusan kerja sama ada untuk projek Jho Low, 1MDB mahupun urusan perbankan.

"Kalau ke rumah Jho Low, saya tidak bersendirian, tetapi ia turut ditemani pegawai lain antaranya Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Sdn Bhd) dan Azmi Tahir (bekas Ketia Pegawai Kewangan 1MDB),” katanya.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung petang ini.