'Lantik anak saya? Rujuk kenyataan saya sebelum ini' - Johari

Iklan
Johari ditemu bual media pada Majlis Temu Mesra Bersama Pengamal Media 2023 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Johari Abdul mengulangi kenyataannya bahawa tiada sebarang lantikan jawatan kerajaan dibuat ke atas anaknya, Mohammed Iqbal setakat ini, sekali gus menafikan beliau mengamalkan nepotisme.

Bagaimanapun beliau sebelum ini dilaporkan berkata, akan mempertimbangkan untuk memohon pelantikan anak sulungnya itu sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat (YDPR).

Iklan
Iklan

Johari yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu secara ringkas meminta media untuk merujuk kepada kenyataan beliau sebelum ini.

"Rujuk kenyataan saya sebelum ini," katanya kepada pemberita pada majlis temu mesra Yang di-Pertua Dewan Rakyat bersama pengamal media tahun 2023 di Parlimen, di sini, pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan melantik anaknya sendiri untuk bertugas sebagai Pegawai Tugas-Rugas khas di pejabatnya.

Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, sehingga kini Mohammed Iqbal yang sudah menjadi pegawainya sejak 14 tahun lalu hanya meneruskan kerja membantu beliau dengan elaun dibayar oleh dirinya sendiri.

Iklan

Pada masa sama, beliau berkata, tidak timbul amalan nepotisme kerana proses pelantikan rasmi sedang dijalankan mengambil kira Mohammed Iqbal yang mempunyai kelayakan dan pengalaman dalam menjalankan tugas terbabit.

Katanya, sebelum ini Mohammed Iqbal menjalankan tugas sebagai pegawainya sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani sejak 2008 hingga 2022 termasuk menghadiri mesyuarat dan membantu menguruskan hal ehwal kawasan.

Isu itu dianggap sebagai satu lagi dakwaan amalan nepotisme selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan anaknya, Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan.

Dakwaan itu dibangkitkan oleh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard yang mempersoal tindakan Johari mengenai lantikan itu.

Melalui portal rasmi Parlimen, nama Mohammed Iqbal disebut sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas YPDR I. - Awani