Tiada kecurian nadir bumi di Perak

Iklan
Saarani (empat dari kanan) selepas menyempurnakan Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak menerima sebarang laporan kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri itu seperti yang berlaku di Kedah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perlombongan REE melibatkan lantanid di daerah Hulu Perak dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, amat sukar untuk berlaku kes kecurian mineral tersebut memandangkan belum ada SOP lain.

"Kita adalah kerajaan negeri pertama yang diberi lesen sebagai projek perintis dan kita buat semua itu tertakluk sepenuhnya dengan SOP, jadi tak ada orang atau ruang untuk masuk membuat kerja itu (mencuri) sebab dia nak jual ke mana?

Iklan

"Belum ada lagi SOP untuk menjual, jadi kerana itu di Perak ini saya belum mendengar laporan berkaitan (kecurian REE)," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, mengenai laporan tular di media sosial mendakwa terdapat sungai berubah warna di Gerik akibat perlombongan itu, Saarani menjelaskan pihaknya tidak menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, jika benar dakwaan tersebut, pihak Jabatan Alam Sekitar akan menyiasat perkara tersebut bersama Kementerian Kesihatan.

Katanya, agensi berkaitan akan menentukan sejauh mana kejadian bertukar warna disebabkan oleh perlombongan Iantanid itu.

Media sebelum ini melaporkan terdapat kegiatan mencuri REE di Kedah.