ANKARA - Beberapa negara telah menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke selatan Turkiye susulan dua gempa bumi kuat yang menjejaskan 10 wilayah di negara ini.
Azerbaijan muncul negara pertama menghantar pasukan SAR yang terdiri daripada 400 anggota, lapor Agensi Anadolu.
Sebuah pesawat dari Amerika Syarikat yang membawa 161 anggota dijangka mendarat di Pangkalan Udara Incirlik di wilayah Adana.
Mexico pula menghantar 145 anggota manakala El Salvador berkata pihaknya akan menempatkan lebih 100 anggota.
Sementara itu, Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 30 anggota SAR serta pegawai perubatan telah atau akan dihantar ke Türkiye sebagai sebahagian daripada Mekanisme Perlindungan Awam EU.
Sebanyak 79 anjing pengesan dilaporkan akan menyertai 1,200 anggota SAR dari 19 negara anggota EU dan 21 negara Eropah termasuk Montenegro dan Albania.
"UK menghantar satu pasukan yang terdiri daripada 77 pakar mencari dan menyelamat, peralatan canggih dan anjing pengesan ke Turkiye...untuk membantu mencari mangsa yang terselamat dalam gempa bumi," menurut Twitter Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK.
Tidak ketinggalan Greece yang mengumumkan akan menempatkan 21 anggota penyelamat manakala Sepanyol menghantar pasukan profesional seramai 90 orang.
Turut akan menempatkan anggota SAR ialah Perancis, Austria, Switzerland, Malta, Bulgaria, Kosovo, Hungary, Croatia, Bosnia dan Herzegovina, Serbia dan Albania.
NATO pula mengumumkan bahawa lebih 1,400 anggota tindak balas kecemasan daripada lebih 20 sekutu dan rakan kongsinya termasuk Sweden dan Finland telah dikerahkan ke Turkiye.
Turut menghulurkan bantuan untuk SAR termasuk Rusia, Moldova, Poland, Republik Czech, Kazakhstan, Georgia, Ukraine, China, Jepun dan Malaysia serta beberapa negara lagi.
Angka kematian akibat gempa bumi kuat pada Isnin itu sudah meningkat kepada 5,894 orang manakala di negara jiran Syria, jumlah korban mencecah lebih 2,200.
Bercakap pada sidang akhbar pada Rabu, Naib Presiden Turki Fuat Oktay berkata mereka yang cedera pula adalah seramai 34,810 orang. - Bernama