GEORGETOWN - Enam wanita warga asing yang disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di sini ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang pada Selasa.
Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin berkata, serbuan yang dijalankan jam 11.30 malam itu hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak seminggu lalu.
Menurutnya, ketika serbuan kira-kira 20 pelanggan warga asing serta tempatan berada dalam pusat hiburan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati lapan warga Indonesia tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Mereka yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 40-an dan terdiri daripada dua lelaki serta enam wanita,” katanya ketika ditemui media di lokasi serbuan.
Shah Inor berkata, serbuan dilakukan susulan risikan pihaknya mendapati wanita warga asing yang datang ke pusat hiburan itu menawarkan perkhidmatan persundalan kepada pelanggan lelaki.
Jelasnya, siasatan juga mendapati wanita warga asing itu mempunyai pekerjaan tetap pada waktu siang dan melakukan kegiatan tidak bermoral itu di malam hari.
"Kita juga dapati wanita itu akan membawa pelanggannya pulang ke rumah atau lokasi lain bagi perkhidmatan persundalan.
"Bagaimanapun, siasatan berhubung tawaran harga serta modus operandi digunakan untuk mendapatkan pelanggan masih dijalankan," katanya.
Tambah beliau, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.