Kertas Putih kes Batu Puteh akan dibentang di Parlimen

Iklan
Kertas Putih mengenai kes Batu Puteh akan dibentang di Parlimen. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kertas Putih mengenai kes Batu Puteh akan dibentang di Parlimen untuk tindakan selanjutnya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di sini pada Rabu, Anwar berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan menyediakan Kertas Putih itu.

Iklan
Iklan

"Masalah yang kita hadapi adalah kerana laporan pasukan khas membantah keputusan untuk tidak merayu yang mengakibatkan kehilangan wilayah Malaysia dan saudara tahu kehilangan wilayah di mana-mana negara adalah masalah besar,” katanya.

Pada 27 Januari lepas, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, tindakan menarik balik dua permohonan semakan terhadap keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tidak teratur dan tidak wajar.

Iklan

Pada 3 Februari 2017, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Bagaimanapun pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan tersebut sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.

Iklan

Pada 14 Disember lepas, Anwar mahu isu tuntutan Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.

Anwar berkata, beliau telah menjelaskan kepada Perdana Menteri, Lee Hsien Loong bahawa keputusan dibuat Malaysia tidak akan menjejaskan hubungan baik dua hala.

"(Ia juga) tidak jejaskan kedudukan status Batu Puteh yang sekarang ini sudahpun menjadi milik Singapura mengikut keputusan ICJ.

"Tindakan kelemahan yang melanggar proses itu terpaksa diangkat... sebab itu, Jemaah Menteri bincang panjang tentang langkah-langkah yang harus diambil dan keputusannya (atas) kebijaksanaan Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Anwar berterima kasih kepada Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas tindakan memberikan kemudahan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

"Sebahagian langkah segera dibuat antaranya buka pusat imigresen dan kastam tambahan dan perkara lain sedang diusahakan antaranya laluan motosikal dan pejalan kaki,” katanya. - Bernama