Jawatankuasa Pilihan Raya perlu perinci dasar kerjasama politik

Iklan
Aminuddin - Foto Bernama

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Raya yang ditubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan memperincikan dasar kerjasama politik yang diinginkan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, ia perlu supaya dasar yang dipersetujui di peringkat pusat dapat diteruskan di peringkat negeri dan dilaksanakan dengan teratur.

Iklan
Iklan

"Kita akur (keputusan) di peringkat pusat tetapi kita melihat lebih baik jawatankuasa itu memperincikan dasar yang perlu dipatuhi supaya tidak menimbulkan isu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Media pada Selasa melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sekretariat Kerajaan Perpaduan menubuhkan tiga jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pilihan Raya bagi merangka strategi menghadapi PRN, di samping Jawatankuasa Strategi dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Iklan

Selain Negeri Sembilan, negeri lain yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PH Negeri Sembilan memenangi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional, 16 kerusi.

Iklan

Mengulas kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berpendapat Perikatan Nasional (PN) mampu menawan Negeri Sembilan atau Selangor sekiranya Khairy Jamaluddin bertanding atas tiket parti itu pada PRN nanti, Aminuddin berkata, sesiapa sahaja boleh bertanding di negeri itu.

"Terpulanglah kepadanya, negeri ini meraikan demokrasi, semua cakap dia (Khairy) boleh menang, kalau tanya diri saya, saya pun boleh menang, itu politik,” katanya. - Bernama