Mahkamah benar batal petisyen terhadap SPR, pegawai pengurus

Iklan
Takiyuddin (dua dari kiri) dan Ahmad Hanir (dua dari kanan) bersalaman selepas selesai prosiding pada Rabu.

KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membatalkan petisyen terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seorang pegawai suruhanjaya itu yang difailkan oleh wakil calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen itu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Roslan Abu Bakar selepas membenarkan permohonan pempetisyen tersebut, Mohd Azmi Mahmood melalui peguamnya, Datuk Mohd Hafarizam Harun terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang, Ab Fatah Hasbullah (responden kedua) dan SPR (responden ketiga).

Iklan
Iklan

"Selepas mendengar hujahan semua pihak, mahkamah menerima permohonan pempetisyen.

"Petisyen pilihan raya untuk responden kedua dan ketiga dibatalkan dengan kos berkongsi sebanyak RM6,000,” katanya.

Iklan

Menurut beliau, prosiding membabitkan responden pertama iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim pula belum selesai.

Sebelum keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili responden kedua dan ketiga sudah pun membuat hujahan bantahan awal termasuk perkara berkaitan saluran mengundi SMK Felda Chiku yang disebutkan di dalam petisyen berkenaan adalah tidak wujud.

Iklan

Mahkamah menetapkan 26 Februari ini untuk keputusan bagi bantahan awal petisyen berkenaan.

Sementara itu, peguam bela yang mewakili responden pertama, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya dikejutkan tindakan pempetisyen yang menarik balik petisyen terhadap kedua-dua responden tersebut.

"Penarikan dibuat selepas pihak SPR dalam bantahan awal membangkitkan perkara didakwa kononnya satu pelanggaran dibuat oleh ketua tempat mengundi, namun tempat itu (SMK Felda Chiku) tidak wujud dalam senarai tempat mengundi.

"Penarikan balik ini adalah perkara yang jarang berlaku dan kita tunggu keputusan mahkamah selepas ini,” katanya.

Pada 3 Januari lalu, Mohd Azmi memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Mohd Azizi yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dengan mendakwa berlaku sogokan berbentuk wang kepada beberapa penduduk bagi meraih undi.

Pada PRU15, Mohd Azizi (PN-Pas) menang majoriti tipis 163 dengan memperoleh 21,826 undi menewaskan Tengku Razaleigh yang mendapat 21,663 undi, Asharun Uji (Pakatan Harapan) 4,517 undi dan Samsu Adabi Mamat (Gerakan Tanah Air) 371 undi.