SHAH ALAM - Salah seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Turkiye bersyukur kepada ALLAH SWT kerana memanjangkan usianya sekeluarga sewaktu berlakunya gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 menggegarkan negara berkenaan pada awal pagi Isnin.
Nik Mohd Dhiya’ Nik Mohd Rosdi berkata, dia tidak dapat menggambarkan dengan akal fikiran apabila gelombang pertama gempa bumi itu berlaku pada jam 4.25 pagi sewaktu orang ramai tidur dengan nyenyak.
"Selepas itu, dengar pula bangunan runtuh. Dalam keadaan itu kami panik, takut dan tangan pun menggeletar,” katanya ketika menceritakan saat-saat gempa bumi melanda Turkiye dalam program Sinar Live bertajuk ‘Turkiye, Syria Bergegar!’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panel, Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki dan program ini dikendalikan oleh moderator, Hazwan Mokhtar.
Pada Isnin, seluruh dunia digemparkan dengan kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 yang menggegarkan tengah Turkiye dan barat laut Syria, mengakibatkan lebih ribuan orang terbunuh dan ramai yang cedera.
Gempa yang melanda ketika awal pagi semasa musim sejuk turut boleh dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Bercerita lebih lanjut, Nik Mohd Dhiya’ berkata, dia sekeluarga tanpa berlengah terus segera bersiap dan mengambil barang penting berlari keluar daripada kediamannya.
"Kami tidak boleh fikir apa. Alhamdulillah, ALLAH SWT panjangkan nyawa kami. Dalam masa dua, tiga minit kami terus keluar rumah bawa pakaian yang perlu,” ujarnya.
Menurutnya, gegaran kedua berlaku pada jam 1.30 tengah hari sewaktu dia sekeluarga berada di terminal bas ketika mahu ke rumah mak mentuanya.
Jelasnya, trip basnya juga telah ditunda beberapa kali dan akhirnya dia menyedari bahawa ia ditunda disebabkan jalan yang mahu dilaluinya itu berlakunya keretakan yang teruk.
"Yang ada masa itu penerbangan sahaja. Kalau nak digambarkan keadaan pada hari itu manusia semua lari bertempiaran, menjerit dan menangis kerana tidak sempat berbuat apa-apa. Kami pun sempat menyelamatkan diri sahaja,” katanya.