Kajian menilai prestasi kerajaan dan kaca mata rakyat

Iklan

SHAH ALAM - Kaji selidik mega yang diadakan oleh lima media arus perdana dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research bertujuan memberi petunjuk kepada kerajaan berhubung penerimaan rakyat terhadap 100 hari Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, penilaian itu dilakukan berdasarkan dua pendekatan iaitu dari prestasi kerajaan dan kaca mata rakyat.

Iklan
Iklan

"Kita melihat prestasi kerajaan dari segi penilaian skor jemaah menteri dan institusi kerajaan yang sering mendapat perhatian awam serta isu-isu yang ditekankan kerajaan seperti urus tadbir serta keharmonian kaum.

"Penilaian dari kaca mata rakyat pula lebih mempertimbangkan keresahan ekonomi seharian mereka serta tahap kepuasan terhadap peranan kerajaan berhubung isu-isu penting yang pernah berbangkit sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Iklan

"Sentimen yang bakal ditinjau memberi garis panduan kepada kerajaan hari ini untuk memberi keutamaan pada isu yang menjadi keprihatinan rakyat dalam tempoh terdekat, agar sebuah pelan tindakan dan dasar kerajaan dapat dirancang bersifat people centric (berpaksikan rakyat) dengan pendekatan bottom-up approach (pendekatan dari bawah ke atas),” katanya kepada Sinar Premium.

Jelasnya, kaedah dan mekanisme yang digunakan bagi melaksanakan kaji selidik mega ini adalah dengan kutipan data secara atas talian.

Iklan

"Respons akan disaring terlebih dahulu untuk mendapatkan jawapan yang lengkap dan pemilihan sampel dilakukan dengan mengambil kira populasi demografi di Malaysia.

"Oleh itu, kami berharap terdapat banyak penyertaan dari pembaca agar dapatan penyelidikan ini menghampiri kehendak dan aspirasi sebenar keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.

Jelas Anis, sasaran responden terdiri daripada seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

"Mereka yang pernah mengundi pada PRU15 sangat dialu-alukan untuk terlibat kerana para pengundi merupakan pemegang taruh paling besar dalam keabsahan kerajaan hari ini,” katanya.

Lima media arus perdana negara iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew, The Star dan Malaysia Nanban bergabung bagi melaksanakan kaji selidik mega bermula Selasa.

Kaji selidik itu bertujuan untuk menjadi kad laporan Kerajaan Perpaduan yang dikumpul bersama dengan analisis serta penilaian pelbagai tokoh, penganalisis dan pemerhati politik tanah air.

Dalam pada itu, Anis berpandangan, kajian itu boleh membantu kerajaan menunjukkan sama ada tindakan semasa kerajaan hari ini berada dalam landasan yang tepat atau tidak.

"Kerajaan boleh menambah baik pendekatannya dalam penyelesaian isu dan masalah berdasarkan kaedah bottom-up approach itu.

"Kaji selidik ini boleh menjadi asas kerajaan untuk melihat populariti semasa mereka dan memperbaiki keutamaan serta komunikasi dalam menyampaikan mesej kepada rakyat dengan terpimpin,” katanya.