BATU PAHAT – Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Batu Pahat berharap kerajaan baharu di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat mengembalikan semula martabat golongan kontraktor Kelas F di seluruh negara.
Pengerusi PKKF Batu Pahat, Sh Mohd Najib Sh Ali berkata, ia berikutan kontraktor kelas itu yang terdiri daripada golongan bumiputera terus terhimpit apabila berlaku ketidakseimbangan dalam pengagihan tender khususnya dalam kategori kelas G1 dan G2.
"Kerajaan sepatutnya berlaku adil sama ada pemberian tender tersebut dilakukan secara terbuka atau rundingan terus. Sehingga April ini, kira-kira 200 ahli PKKF Batu Pahat kini tidak ada sebarang kerja.
"Kami mohon kerajaan dapat buat agihan projek secara lebih adil dan telus, yang mana kerja ini tidak lagi dimonopoli oleh satu-satu pihak sahaja,” katanya,
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Mesyuarat Agung Tahunan PKKF Batu Pahat kali ke-12 di Summit Signature Hotel, di sini, semalam.
Menurutnya, beliau juga berharap kerajaan pusat dan negeri dapat memperbanyakkan kerja-kerja undi untuk projek di bawah RM100,000 bagi mengelakkan unsur rasuah dan pengagihan lebih adil terutamanya kepada kontraktor kelas F.
Sh Mohd Najib berkata, beliau juga berharap kajian semula berkaitan konsesi yang diwujudkan sebelum ini sehingga menyekat ruang dan peluang kontraktor kelas F dapat dilakukan berikutan bilangan kontraktor kelas ini lebih besar.
"Sekiranya syarikat-syarikat konsesi ini ambil alih projek pembangunan, kebanyakan kontraktor kecil di daerah ini pasti akan gulung tikar sebab kami kontraktor kecil yang biasanya dapat projek bernilai bawah RM250,000 daripada agensi kerajaan.
"Sebab itu kami harap projek-projek kerajaan tidak diswastakan. Sejak awal tahun sehingga ke bulan ini kami tidak ada sebarang kerja kerana terpaksa mengalah kepada kontraktor-kontraktor besar dan saya minta kerajaan untuk bantu kami,” katanya.
Pada masa sama, beliau memohon Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal dapat membantu memudahkan urusan PKKF Batu Pahat yang ingin memiliki bangunan sendiri di daerah ini.