Gempa bumi: Angka kematian lepasi 12,000 di Turkiye, Syria

Iklan
Mangsa gempa terpaksa menahan kesejukan di luar kediaman mereka yang ranap di Kahramanmaras. - Foto Agensi

HATAY - Jumlah kematian akibat gempa bumi dahsyat melanda tenggara Turkiye dan sempadan Syria meningkat lebih 12,000 orang setakat ini.

Di negara jiran, Pertahanan Awam Syria memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 2,992 orang maut dengan sebahagian besar kematian direkodkan di wilayah yang dikuasai pemberontak di bahagian barat laut.

Iklan
Iklan

Setakat ini lebih 298,000 orang di Syria kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka ranap dalam kejadian gempa bumi berkekuatan 7.8 magnitud pada Isnin lalu.

Sementara itu di bandar Besni, Turkiye, penyelamat Poland menarik keluar hidup-hidup sembilan beranak dari bawah sisa runtuhan bangunan selepas terperangkap selama dua hari.

Iklan

Dalam pada itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengecam kritikan terhadap usaha menyelamat kerajaan yang dikutuk banyak pihak di Turkiye sebagai lambat dan tidak mencukupi.

Beliau turut mengesahkan bahawa angka korban di negara itu meningkat kepada 9,057 orang.

Iklan

"Ya, pada hari pertama gempa kami berdepan beberapa isu tetapi kemudian pada hari kedua dan hari ini keadaan semakin terkawal," ujarnya ketika melawat pusat gempa di Kahramanmaras.

Erdogan turut berjanji bahawa kerajaan akan menyasarkan untuk membina perumahan dalam tempoh setahun bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal di 10 wilayah yang terjejas.

Setakat ini, Kesatuan Eropah (EU) telah pun menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk membantu Turkiye manakala sistem satelit Copernicus blok itu telah diaktifkan untuk tujuan pemetaan kecemasan.

Sekurang-kurangnya 19 negara anggota EU telah menawarkan bantuan kepada Ankara.

Ketika ini, cuaca sejuk dengan suhu -6 darjah Celcius di Kahramanmaras dan antara -5 serta -1 darjah Celsius di Gazientap dijangka menyukarkan lagi operasi SAR di kedua-dua lokasi bencana tersebut.

Malah di Diyarbakir yang menyaksikan banyak bangunan ranap hanya merekodkan suhu tertinggi 2 darjah Celsius. - Agensi