KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas melecur 20 peratus dalam kebakaran sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Petaling pada Khamis.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.41 pagi.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dengan bantuan BBP Bandar Tun Razak, BBP Seri Petaling dan BBP Seputeh dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah di tingkat satu berkeluasan 280 kaki persegi. Anggaran peratus kebakaran adalah sebanyak 70 peratus.
"Kebakaran turut melibatkan seorang mangsa lelaki warga emas mengalami kecederaan melecur 20 peratus," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Ujar kenyataan itu, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada kemusnahan yang lebih besar.
"Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.50 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Mangsa dihantar ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan susulan.