NICOSIA - Platform media sosial dipenuhi dengan maklumat yang salah berkaitan gambar dan video kejadian gempa bumi dahsyat di Turkiye dan Syria.
Salah satu video yang dikongsi secara meluas dan ditonton beribu-ribu kali adalah kejadian tsunami yang kononnya berlaku di pantai Turkiye sejurus gempa bumi berkekuatan 7.8 magnitud menggegarkan negara itu pada Isnin lalu.
Namun, analisis rakaman menunjukkan ia adalah daripada ribut yang berlaku pada Mac 2017 di Durban, Afrika Selatan.
Sebuah lagi video memaparkan ombak menghempas pantai kononnya berlaku di Turkiye sebenarnya adalah impak ribut bulan lalu yang berlaku San Diego, California, Amerika Syarikat (AS).
Beberapa lagi video yang dirakam di Tebing Barat dan Jepun turut dikongsi di media sosial dengan maklumat salah mendakwa ia adalah kesan kejadian selepas gempa bumi di Turkiye.
Malah, stesen penyiaran di Mesir turut 'tertipu' apabila menyiarkan imej seorang kanak-kanak lelaki sedang menangis di atas sisa runtuhan dan visual menyayat hati itu disebut berlaku di Syria.
Sebaliknya, gambar tersebut adalah sebahagian daripada siri imej stok berperingkat yang boleh didapati di laman web Shutterstock.
Satu lagi imej yang tersebar selepas gempa bumi adalah seekor anjing berbaring di sebelah individu yang kelihatan tertimbus di bawah runtuhan, menjana lebih daripada 1.5 juta tontonan di Twitter.
Tetapi carian imej sebaliknya menunjukkan gambar itu telah berada dalam talian sejak sekitar tahun 2018. - AFP