KUALA LUMPUR - Sebanyak 273 mangsa banjir masih berada di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri yang terjejas setakat 8 pagi Khamis.
Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Negeri melaporkan 200 orang berada di empat PPS di Kuantan; 12 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Jerantut manakala 21 lagi di Balai Raya Ulu Sungai, Raub.
Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan empat lokasi sungai di Pahang melebihi paras bahaya iaitu Sungai Lipis di Batu Malim, Raub; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Keratong di Rompin.
DI KEDAH, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SM Agama Madrasah Insaniah Jangkang, dekat Kulim kekal 18 orang daripada enam keluarga.
Sekretariat JPB Daerah Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata semua mangsa adalah dari Kampung Padang Limau dekat Mukim Karangan.
Di JOHOR, JPB Negeri memaklumkan 22 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, berikutan kediaman mereka masih digenangi air banjir.
Cuaca di semua 10 daerah di Johor diramal cerah pagi ini manakala Sungai Bekok di Batu Pahat melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.91 meter. - Bernama