Bau pelik bongkar lori bawa tiga tan daun ketum

Iklan
Tiga tan daum ketum ditemukan dalam sebuah lori disyaki untuk diseludup ke Kelantan. - Foto ihsan JPJ

GERIK - Bau pelik daripada sebuah lori yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak membongkar kegiatan penyeludupan tiga tan daun ketum, Ahad lalu.

Kenderaan terbabit ditahan sekitar jam 10.30 malam dalam pemeriksaan di Kilometer 4.7, Jalan Raya Timur - Barat iaitu di hadapan Stesen Penguatkuasaan Gerik.

Iklan
Iklan

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Perak, Mir Khairol Hafizal Mir Idris berkata, pemandu kenderaan berkenaan pada awalnya ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu.

"Semakan lanjut pada nombor casis dan nombor enjin mengesyaki kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran disyaki palsu.

Iklan
Sebuah lori yang disita JPJ Perak rupanya membawa tiga tan daun ketum untuk diseludup ke Kelantan pada Ahad. - Foto ihsan JPJ

"Tindakan menyita lori terbabit diambil mengikut Seksyen 108(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain saman dikeluarkan kepada pemandu kerana tidak memiliki lesen," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, arahan penghantaran yang diserahkan pemandu menunjukkan barangan dibawa adalah barangan runcit ke kedai-kedai sekitar Kelantan.

Iklan

"Namun, beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tercium bau pelik pada lori terbabit pada Isnin sebelum memaklumkan kepada ketua stesen penguat kuasa JPJ Gerik.

"Pemeriksaan lori yang ditutup dengan kanvas itu menemui lebih 30 bungkusan hitam berisi daun ketum dianggarkan seberat 3,000 kilogram," katanya.

Tambah beliau, kes dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.