KUALA LUMPUR - Aksi berbahaya yang dilakukan geng motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, dekat sini, mengundang padah apabila ditahan polis pada Khamis.
Operasi Khas Samseng Jalanan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman itu berjaya menahan 10 penunggang motosikal.
Menurut sumber, tangkapan pertama kira-kira jam 1.35 pagi itu membabitkan tujuh penunggang motosikal selepas mereka dikesan melakukan aksi 'Superman', bersaing sesama sendiri dan zigzag.
"Susulan itu, dalam operasi berasingan, tiga lagi penunggang turut ditahan kira-kira jam 3.15 pagi.
"Siasatan awal mendapati mereka ini terdiri daripada dua kumpulan yang berlainan dan dipercayai dalam perjalanan pulang dari sebuah restoran di Seremban," katanya pada Khamis.
Beliau berkata, kesemua motosikal jenis Yamaha Y16ZR, Yamaha Y15ZR, Yamaha Lagenda 115Z, Honda RS150 dan Yamaha 135LC disita untuk tindakan lanjut.
Katanya, tujuh tangkapan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai manakala tiga lagi dibawa ke BSPT IPD Seremban.
"Kesemua lelaki yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.