Empat nelayan Myanmar kendali bot tempatan ditahan

Iklan
Empat nelayan warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia Zon Kuala Kurau. Foto: ihsan Maritim Malaysia

PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan empat nelayan warga Myanmar kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, kesemua nelayan berusia 17 hingga 41 tahun itu ditahan sekitar jam 1.45 petang di kedudukan 7.3 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam di sini.

Iklan
Iklan

"Semasa rondaan di perairan Larut Matang, pasukan mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda sedang menjalankan aktiviti perikanan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kru bot terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan memiliki lesen tetapi tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran menggajikan kru warga asing.

"Kesemua kru ditahan manakala bot dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen dan Seksyen 8(b) akta sama kerana melanggar syarat sah lesen," katanya.