KPPP cadang JKP disenarai dalam Peraturan Mesyuarat

Iklan
Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional (KPPP) mencadangkan Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP) disenaraikan dalam Peraturan Mesyuarat bagi mengekalkan fungsi dan kesinambungan jawatankuasa berkenaan.

Badan pemikir itu berpandangan, tindakan tersebut perlu agar keberkesanan pemantauan dapat dikekalkan dengan hanya keahlian anggota ditukar selepas setiap pilihan raya umum (PRU).

Iklan
Iklan

"JKP berasaskan kementerian dan tema yang penting seperti Hal Ehwal Dalam Negeri, Pendidikan, Kesihatan, Alam Sekitar, Pertahanan dan Hal Ehwal Luar Negeri, Pilihan Raya dan Demokrasi Pelbagai Parti dan Hak Asasi seharusnya bersifat tetap dan disenaraikan dalam Peraturan Mesyuarat.

"Kami turut mencadangkan pihak yang Dipertua Dewan Rakyat menggalakkan dan membenarkan seoptimum mungkin penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) seperti penggal lepas.

Iklan

"(Ini kerana) Ia telah berjaya merapatkan jurang penglibatan kumpulan masyarakat madani serta orang awam dalam proses pembuatan dasar negara yang dianggotai oleh ahli Parlimen rentas parti secara multipartisan seperti KRPPM Pendanaan Politik yang diterajui oleh Ideas (Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi," menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

Sebelum ini Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dilapor akan memberi fokus untuk memperkasa JKP, wujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, pengenalan sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) dan keanggotaan kesemua Ahli Parlimen persendirian dalam jawatankuasa berkenaan.

Iklan

Dalam pada itu KPPP turut mencadangkan penubuhan sebuah JKP untuk menyemak hal ehwal kewangan lain yang tidak termasuk di bawah pantauan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Kami ingin mengetahui perancangan lanjut Speaker Dewan Rakyat mengenai penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan baharu, bilangan berserta keahliannya termasuk PAC yang akan memantau semua kementerian memandangkan kabinet sudah terbentuk lebih daripada dua bulan selepas PRU15.

"Kami menyeru supaya gabungan ini juga terus dijadikan rakan strategik agar kesinambungan usaha memperkasa Parlimen, selari dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri dan Speaker sendiri bagi mengangkat semula martabat Malaysia selaku negara demokrasi berparlimen," katanya.