Pesakit derita kanser kini diuji pula kaki bernanah

Iklan
Kisah Rosli yang disiarkan Sinar Harian pada November lalu.

KUALA KRAI - Pesakit kanser tulang kaki sejak 30 tahun lalu setia dengan rutin ulang-alik ke hospital berikutan rawatan susulan yang perlu dilakukan.

Bagaimanapun, Rosli Che Min, 50, berkata, kini dia diuji dengan bahagian bawah lutut kanan bernanah sejak tiga bulan lalu dan perlu mendapatkan pemantauan pakar di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Iklan
Iklan

"Keadaan kaki yang bernanah tidak serius dan luka itu bertambah baik jika saya mengambil makanan sesuai.

"Saya perlu memakan ubat mengikut waktu yang ditetapkan selain tidak boleh melakukan kerja berat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, keadaan kakinya juga masih tidak boleh membengkok selepas melalui beberapa pembedahan tetapi dia tetap membantu isteri dengan rutin mengambil dan menghantar anak ke sekolah tidak jauh dari rumah.

Rosli bersyukur kerana ada yang menghulurkan bantuan selepas media memaparkan kehidupan keluarganya di Kampung Lata Tual, Lata Rek tiga bulan lalu.

Iklan

"Alhamdulillah, ada yang bersimpati dan berkongsi rezeki selepas kisah kami disiarkan di media," katanya.

Tambah Rosli, sumbangan berkenaan dapat membantu mengurangkan beban isteri, Marina Roswati Hamad, 43,

yang kini masih bekerja dan berulang-alik sejauh 15 kilometer dari rumah ke ladang kelapa sawit di Tok Uban, Kuala Krai.

Jelasnya, melalui derma itu juga dapat dibelanjakan untuk empat anak yang masih bersekolah selain perbelanjaannya berulang-alik ke hospital.

Sinar Harian sebelum ini memaparkan kisah Marina Roswati yang mengambil keputusan bekerja di ladang kelapa sawit kerana suami tidak dapat melakukan kerja-kerja berat.

Rutin hariannya keluar seawal jam 6.30 pagi untuk ke ladang itu dengan menumpang saudara terdekat.

Selain dibantu seorang anak lelaki yang bekerja sebagai kelindan lori, beban yang ditanggungnya berkurangan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Pasangan itu bersyukur kerana anak-anak memahami dan belajar dengan baik termasuk seorang daripada mereka kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia.