Gangguan LRT: APAD tidak tuduh mana-mana pihak

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SHAH ALAM - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menegaskan bahawa mereka tidak menuduh mana-mana pihak sebagai punca berlakunya insiden gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang.

Agensi tersebut malah menyatakan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan organisasi pentadbiran kerajaan yang berkenaan untuk mengetahui punca sebenar berlakunya insiden tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut APAD, agensi itu masih menunggu siasatan daripada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkenaan dengan insiden gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan bengkok berhampiran LRT Bandaraya.

"APAD ingin menegaskan bahawa fokus utama agensi ini adalah keselamatan orang awam yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam setiap hari.

Iklan

"Menerusi kenyataan sebelum ini, sebagai langkah awal keselamatan selaras dengan Peraturan 8 Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [ PU (A) 367], APAD telah mengesyorkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk penggantungan atau perjalanan aktiviti terhad di kawasan zon perlindungan kereta api,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, semua operasi terhenti sehingga punca sebenar berlakunya insiden tersebut diketahui dan semua aspek serta keperluan keselamatan dipatuhi oleh pemilik projek.

Iklan

APAD menegaskan bahawa segala keputusan yang diambil oleh agensi itu adalah untuk keselamatan awam dan ia menjadi keutamaan pihak kerajaan dalam mengawal selia industri pengangkutan awam negara.

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan berdasarkan pemeriksaan dan pemerhatian awal APAD, terdapat satu kerja pembangunan dijalankan bersebelahan landasan kereta api dan dalam kawasan Rizab Kedua LRT tanpa sebarang perundingan dengan agensi itu.

Difahamkan, APAD memandang serius isu itu dan sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti DBKL, Jabatan Kerja Raya dan Prasarana untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya insiden tersebut.

Selain itu, pihak Prasarana diminta menyediakan alternatif perkhidmatan mencukupi bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi terutama pada waktu puncak termasuk membuat pemakluman berterusan kepada orang awam.