Perak mulakan kajian kemiskinan haid

Iklan
Salbiah (empat dari kiri) dan Zulkafli (tiga dari kanan) menandatangani perjanjian smart partnership antara kerajaan negeri dan JPN pada program Pembasmian Kemiskinan Haid: Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita (PROKIS) Perak di SMK Raja Chulan, Ipoh pada Khamis.

IPOH - Perak telah memulakan kajian berkaitan kemiskinan haid bagi mendapatkan gambaran terperinci sebelum satu pendekatan komprehensif diperkenalkan bagi menangani isu itu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed berkata, kajian itu membabitkan kira-kira 1,500 responden di seluruh negeri.

Iklan
Iklan

"Kami dalam proses mengumpul data dengan menjalankan kajian menggunakan responden di semua daerah.

"Kita tidak mahu mengatakan kemiskinan haid negeri ini tinggi tanpa merujuk data yang betul. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga akan bantu berkongsi (data) kerana yang melalui proses ini pada peringkat awal adalah pelajar," katanya selepas merasmikan program Pembasmian Kemiskinan Haid: Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita (PROKIS) Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan, di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak, Jamilah Zakaria dan Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) JPN, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Menurut Salbiah, pihaknya juga akan melihat keperluan menempatkan mesin layan diri sanitari terutama di sekolah rendah.

Iklan

"Saya mengalukan agensi-agensi kerajaan mahupun syarikat mengadakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberikan bantuan seumpama ini," katanya.

Beliau berkata, program PROKIS diteruskan bagi membantu meringankan beban golongan wanita dan remaja B40.

"Selain itu, kerjasama bersama JPN diadakan bagi melaksanakan program membendung dan mengatasi masalah gangguan seksual, penderaan serta pendedahan ilmu penjagaan sistem reproduktif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di sekolah.

"Program ini akan digerakkan secara bersama oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bagi menyampaikan maklumat kesedaran, tips keselamatan diri, jenayah pornografi dan lain-lain," katanya.