22 nelayan Kemboja, tekong warga Thailand ditahan

Iklan
22 nelayan Kemboja dan seorang tekong Thailand ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang pada malam Rabu.

GEORGETOWN - 22 nelayan Kemboja dan seorang tekong warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang dalam Op Pertiwi dan Op Tanjung pada malam Rabu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua nelayan tersebut ditahan ketika berada di dalam sebuah bot nelayan tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 5.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 8.09 malam.

"13 daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Selain itu, pemilik bot pula didapati melakukan kesalahan kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau menambah, bot dan kesemua nelayan serta lima kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Bot nelayan tempatan kelas C dirampas untuk siasatan lanjut.

"Walaupun amaran dan tindakan tegas telah diambil, kita mendapati masih ada segelintir pengusaha atau pemilik bot yang degil menggunakan khidmat nelayan warga asing untuk bekerja menggunakan bot mereka," katanya.

Iklan

Sehubungan itu, beliau memberi amaran terhadap semua pengusaha atau pemilik bot agar tidak melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia sekiranya tidak mahu tindakan tegas diambil.