KUALA LUMPUR - Sebanyak 315,760 atau 86 peratus peranti diagihkan kepada penerima PerantiSiswa daripada 366,843 pemohonan yang diluluskan setakat 9 Februari, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, bagi mempercepat pengagihan baki 51,083 atau 14 peratus penerima, terdapat dua sesi pengagihan akan dilaksanakan termasuk penjadualan pengagihan ke institusi penerima yang disegerakan.
Selain itu, Pusat Pengagihan PerantiSiswa (PPPs) akan digerakkan serentak di seluruh negara dari 17 hingga 19 Februari (sesi pertama), 24 hingga 26 Februari (sesi kedua) dan 3 hingga 5 Mac (sesi ketiga) di pelbagai institusi pendidikan tinggi yang ditentukan di setiap negeri.
"Ini bermaksud pelajar yang sedang bercuti, sedang menjalani latihan industri atau apa-apa sebab yang berkaitan dapat mengambil peranti di PPPs yang terdekat pilihan masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sesi pertama ialah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau, Perlis; Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah; Universiti Sains Malaysia (USM - Induk) di Georgetown, Pulau Pinang; Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor; Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan; dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka.
Selain itu, sesi pertama turut melibatkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM Kampus Induk), Parit Raja di Johor; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Kampus Gambang) di Pahang serta Universiti Malaysia Kelantan (UMK Kampus Bachok) di Kelantan.
Bagi sesi kedua adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Arau di Perlis; UiTM Kampus Sungai Petani, Kedah; UiTM Kampus Permatang Pauh, Pulau Pinang; Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak; Universiti Putra Malaysia (UPM Kampus Serdang), Selangor; dan Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur.
Sesi kedua turut melibatkan UiTM Kampus Kuala Pilah di Negeri Sembilan; UiTM Kampus Alor Gajah di Lendu, Melaka; UiTM Kampus Segamat dan Politeknik Mersing di Johor; UiTM Kampus Raub di Pahang; Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak, Terengganu; UiTM Kuala Terengganu, Chendering; UiTM Machang di Kelantan; UiTM Kampus Samarahan 1 dan UiTM Kampus Samarahan 2 di Sarawak.
Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu serta Universiti Malaysia Sarawak di Kota Samarahan dan UiTM Kampus Mukah 2 di Sarawak pula akan melibatkan sesi pertama dan kedua, manakala UiTM Shah Alam, Selangor melibatkan sesi ketiga. - Bernama