Saksi tidak pernah curiga Jho Low penasihat Najib

Iklan
Najib (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadapi perbicaraan kes 1MDB.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, dia tidak pernah curiga dengan jawatan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebagai penasihat Datuk Seri Najib Tun Razak.

Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata demikian dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram, dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Iklan
Iklan

Dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, saksi pendakwaan ke-41 itu berkata, dalam beberapa pertemuan di pejabat 1MDB, beberapa pegawai kanan syarikat pelaburan strategik negara sering merujuk Jho Low sebagai ‘boss’ manakala Najib ‘big boss’.

Mereka ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Pengarah Eksekutif, Terence Geh Choh Heng; bekas Ketua Pegawai Operasi, Radhi Mohamad dan bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir.

Iklan

"Dia juga selalu minta saya semak status kad kredit Najib, setiap kali ia tidak boleh digunakan,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Saksi ini yang pernah menguruskan lima akaun peribadi Najib berkata, dia tidak pernah diberitahu bahawa Jho Low bukan penasihat pemimpin UMNO itu.

Iklan

Katanya, bukan tarafnya untuk bertemu Najib di kediaman rasmi Perdana Menteri, semata-mata mahu mendapatkan pengesahan tersebut.

Sementara itu, dia turut ditanya mengenai kehadiran beberapa individu ke kaunter, untuk memasukkan wang dalam akaun bank bekas Ahli Parlimen Pekan.

Joanna: Setiap kali baki amaun dalam bank tidak mencukupi, dua individu dikenali Kee Kok Thiam dan Josie Lim akan datang ke bank, dengan membawa sejumlah wang.

Ahmad Akram: Adakah mereka orang Arab?

Joanna: Tidak, mereka orang tempatan.

Ahmad Akram: Pernahkah pada bila-bila masa, pemegang mandat akaun bank Najib, kakitangan mahupun pemimpin UMNO itu sendiri buat aduan tentang kemasukan wang tunai itu, melalui kaunter?

Joanna: Tidak penah.

Ahmad Akram: Bagaimana dengan aduan bahawa beliau tidak menerima penyata akaun daripada pihak bank?

Joanna: Tidak penah.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 Februari depan.