Dakwaan salah guna wang zakat: MAINS buat laporan polis

Iklan
Datuk Seri Dr Abdul Aziz Ab Kadir

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menafikan tohmahan dan fitnah yang disebar melalui media sosial berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Ab Kadir berkata, MAINS telah pun membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit susulan tohmahan dan fitnah yang disebarkan pada tahun 2019.

Iklan
Iklan

"Pihak MAINS turut memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Audit Negara bagi menjalankan siasatan penuh dan pengauditan terperinci terhadap semua dakwaan tersebut.

"Namun pada 2023, dakwaan yang sama diulang siar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memenuhi kepentingan peribadi," katanya dalam kenyataan kepada media pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, MAINS sebagai agensi Badan Berkanun yang dinaungi oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sentiasa memastikan pengurusannya mematuhi konsep ketelusan, akauntabiliti serta berintegriti tinggi dalam semua aspek.

Selain itu katanya, MAINS menafikan sebarang tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar berkenaan penglibatannya dalam isu berkaitan.

Iklan

"Kerajaan negeri sentiasa berganding bahu bersama pihak MAINS memastikan semua perkara yang menyentuh masyarakat Islam di negeri ini sentiasa terbela dan disantuni sebaik-baiknya.

"Sehubungan itu pihak MAINS menasihati masyarakat sentiasa Tabayyun (menyemak asas kebenarannya) sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian," katanya.

Jelasnya, MAINS juga sekali lagi telah membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menimbulkan persepsi negatif dan kegusaran awam terhadap MAINS.

Katanya, sebarang hal berkaitan salah laku, pihak MAINS menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dan MAINS memberikan kerjasama sepenuhnyaserta tidak berkompromi terhadap perkara berkaitan salah laku.