MELAKA - Gara-gara memecah masuk kedai makan dan mencuri, seorang wanita bujang dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Tertuduh, Bibi Norishah Golbal Shah 50, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Tertuduh didakwa melakukan pecah masuk bangunan di dua kedai makan berbeza dan mencuri wang tunai serta dua kamera litar tertutup (CCTV).
Perbuatan pertama dilakukan antara jam 5.02 pagi hingga 5.10 pagi di sebuah kedai di Pusat Niaga Bukit Palah, Bukit Baru di sini, 4 Oktober tahun lalu.
Pertuduhan kedua, tertuduh pada pada 23 Januari lalu, antara jam 12.35 pagi hingga 1.20 pagi didapati memecah masuk sebuah lot kedai di Medan Selera Melaka Sentral di sini dan mencuri wang tunai serta syiling bernilai kira-kira RM1,700.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara hingga lima tahun dan juga denda mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan memberikan dadah kepada diri sendiri jenis methamphetamine.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, pada 4 Julai 2022 dan 4 Februari 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan perintah pengawasan tidak melebihi dua tahun mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.
Terdahulu, tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman ringan diberikan terhadap tertuduh kerana menjaga ibunya selain menyesali perbuatan yang dilakukan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon hukuman penjara dan berbentuk pengajaran kerana perbuatan yang dilakukan merupakan kesalahan sama yang berulang kali.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan penjara bagi setiap pertuduhan pecah kedai dan mencuri dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 3 Februari 2023.
Bagi kes dadah tahun lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh dia ditangkap.
Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes dadah pada 13 Mac depan dan penyerahan laporan kimia.