PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memberi tempoh 60 hari kepada UMNO untuk menjelaskan berhubung aduan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan melanggar Perlembagaan.
Perkara itu disahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan penasihat undang-undang parti telah memberi penjelasan dan maklumat terperinci kepada jabatan itu.
"Saya yakin bahawa Setiausaha Agung (Ahmad) telah memenuhi semua permintaan RoS dan memberi maklumat penuh yang diperlukan," katanya ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan siasatan RoS terhadap parti itu.
Ia selepas dua ahli UMNO membuat aduan itu pada 20 Januari lalu.
Ahli tersebut, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan Muhammad Fiqri Firdaus mendakwa usul dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) baru-baru ini telah melanggar perlembagaan parti.
Usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan diperkenalkan semasa ucapan pencadang usul Ucapan Dasar Presiden pada persidangan itu.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW berpendapat RoS perlu mendengar ulasan dan aduan kedua-dua pihak.
"Langkah ini bagi menunjukkan suasana harmoni dalam kalangan ahli dan kepimpinan agar tidak timbul tafsiran dan juga interpretasi yang pelbagai," katanya.
Ini kerana ujar Ahmad Zahid, peranan RoS adalah menjaga kepentingan ahli-ahli berdasarkan perlembagaan pertubuhan itu.
"Saya berpendapat RoS yang ditubuhkan pada tahun 1966 bertujuan untuk menjaga kepentingan ahli mana-mana pertubuhan yang didaftarkan dengan jabatan itu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan," katanya.
Pada 31 Januari lalu, Ahmad bersama tiga individu lain hadir ke Ibu Pejabat RoS bagi memberi penjelasan dan dokumen yang disediakan peguam berhubung aduan tersebut.