KLFA masih pemilik tunggal KL City

Iklan
KLFA masih menjadi pemilik KL City FC. (Gambar kiri: Syed Yazid)

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menafikan syarikat swasta, Rinani Group Berhad (Rinani) sebagai pemilik baharu kelab Kuala Lumpur (KL) City FC.

Naib Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar menegaskan bahawa badan induk tersebut masih menjadi pemilik KL City dan majlis menandatangani pembelian tersebut Sabtu lalu sebagai tidak sah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pertukaran pemilikan saham perlu mendapat persetujuan Ahli Jawatankuasa KLFA terlebih dulu sebelum ia dimuktamadkan sebagai rasmi.

"Proses pertukaran status hak milik giat dijalankan di antara pihak KLFA dan Rinani kerana masih terdapat beberapa perkara yang masih belum dipersetujui,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Iklan

Kumpulan Rinani menandatangani dokumen persefahaman pembelian saham KL City sebanyak 51 peratus bagi menjadikan firma perunding kewangan itu pemilik terbesar skuad warga kota itu.

Perubahan itu menyaksikan baki 49 peratus lagi kekal milik KLFA.

Iklan

Majlis menandatangani persefahaman itu melibatkan Pengarah Rinani, Azri Azerai dan Presiden KLFA Khalid Abdul Samad.

Syed Yazid berkata, pertukaran pemilikan saham perlu melalui beberapa proses termasuk pembentangan pada mesyuarat jawatankuasa KLFA untuk penelitian dan pengesahan sebelum ia disahkan.

"Sebarang tawaran daripada mana-mana pihak wajib dibawa ke Mesyuarat KLFA terlebih dahulu untuk dibangkitkan dan seterusnya diperhalusi sebelum melaksanakan proses pertukaran hak milik kelab berkenaan.

"Apa yang berlaku buat dahulu (tandatangani persefahaman) baru beritahu (ahli jawatankuasa), sepatutnya bincang dalam mesyuarat dan baru buat (tandatangani persetujuan pembelian saham),” katanya.

Sehubungan Syed Yazid menggesa mesyuarat jawatankuasa KLFA diadakan bagi meneliti semula perjanjian tersebut demi kebaikan kelab, para pemain dan peminat.

"Mesyuarat mungkin diadakan hujung Februari bagi mencari penyelesaian terhadap isu tersebut,” katanya.

Pengambilalihan KL City adalah sebahagian daripada proses penswastaan mandatori yang dikuatkuasakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepada semua kelab yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia.