Pandu lori remuk ke hospital demi selamatkan kelindan

Iklan
Petugas hospital sedang memberi bantuan awal kepada kelindan yang tersepit di tempat duduk penumpang selepas kemalangan dengan sebuah mesin padi.

KUBANG PASU - Seorang pemandu lori mengejutkan orang ramai apabila memandu lori yang remuk akibat kemalangan ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra, di sini demi menyelamatkan kelindannya yang tersepit pada Selasa.

Rakaman lori terbabit yang tiba di unit kecemasan turut tular di aplikasi TikTok sejak Rabu dengan lebih 135,000 tontonan.

Iklan
Iklan

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, petugas hospital berkenaan dikejutkan dengan ketibaan lori tersebut yang berhenti di hadapan unit kecemasan kira-kira jam 4 petang.

Katanya, pihak hospital tidak menerima sebarang panggilan kecemasan mengenai kemalangan yang menimpa lori tersebut sebelum itu.

Iklan

"Petugas hospital berjaya mengeluarkan kelindan terbabit dan mangsa segera dibawa ke zon merah untuk diberikan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Dr Othman berkata, berdasarkan maklumat diterima, lori tersebut terlibat dalam kemalangan dengan sebuah mesin padi di Jalan Sungai Korok, Jitra.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut mendapati kelindan berkenaan mengalami kecederaan di bahagian abdomen dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.

"Pemandu lori itu pula dibenarkan pulang ke rumah setelah menerima rawatan," katanya.