SHAH ALAM - Sukarelawan dari White Helmets yang juga dikenali sebagai Pertahanan Awam Syria menggunakan pendekatan nyanyian ketika sedang menyelamatkan seorang mangsa kanak-kanak perempuan dalam tragedi gempa bumi di Syria.
Menurut laporan media antarabangsa, sukarelawan itu menyanyikan lagu bagi menenangkan kanak-kanak itu ketika dia sedang menerima rawatan selepas cedera akibat bencana tersebut.
Iklan
Iklan
Menurut rakaman video berdurasi 1.02 minit tersebut, gadis kecil itu sedang menerima oksigen dengan berlindungkan batu daripada runtuhan bangunan.
Rakaman menyentuh hati itu dikongsikan dalam laman media sosial oleh White Helmets.
Dipercayai kira-kira 17,000 orang terbunuh apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Syria dan Turkiye pada Isnin.
Menurut laporan, beribu-ribu orang masih dipercayai terperangkap di bawah runtuhan di kedua-dua negara dan kru kecemasan sedang mencuba untuk mencari dan menyelamatkan mangsa.
Selain 12,873 orang terbunuh di Turkiye, agensi pengurusan bencana negara tersebut melaporkan lebih 60,000 individu cedera sementara di sempadan Syria, 3,162 telah dilaporkan mati dan lebih 5,000 cedera.